Friday, June 5, 2015

LEGANYA DAPAT BERURUT SELEPAS HABIS BERPANTANG

Teks : Nor Fahidayu Masran

Entry 10

Ini cerita semalam. Nak berurut selepas 3 bulan bersalin dan habis pantang. Sepatutnya, berurut selepas 44 hari habis pantang tapi sudah terlajak sehingga bayi berumur 3 bulan.

Sebaiknya, wanita yang sudah beranak- pinak berurut sebulan sekali bagi menjaga urat badan. Mana tidaknya, kita mengandung, bersalin, dan menyusukan bayi semua itu sangat berkait dengan urat saraf dan tulang belakang kita. Biasanya, lepas berpantang mesti badan sakit-sakit, lebih-lebih lagi di bahagian belakang pinggang. Sebab inilah kita perlu rajin berurut.

Saya berurut di rumah mak di Ulu Yam Baru, Selangor. Mak dah panggilkan tukang urut sebelum saya sampai. Tetapi,  tukang urut pula tidak dapat datang sebab ada hal katanya. Tak dapatlah saya berurut pada petang itu.

Akhirnya, mak saya beritahu bahawa jiran sebelah ada katil urut Ceragem. Tahu Ceragem itu apa? Boleh guna google untuk carian ye.

Saya pun ke rumah jiran sebelah, makcik Ani namanya dan tumpang berurut guna katil tersebut. Wah, sangat best! Habis tulang belakang, pinggul, pinggang di urut. Memang lega. Badan pun berpeluh-peluh seperti orang sedang bersauna. Kalau buat hari-hari, boleh kurus dan turunkan berat badan.

Semasa sesi urut ini dijalankan, kita hanya perlu berbaring di atas katil dan berselimut. Mesin katil akan bergerak sendiri. Urutan adalah dari batu jed yang diletakkan dibahagian bawah katil. Bebola jed itu yang bergerak, mengurut badan kita. Ia tidak sakit. Urutan dimulakan dari bahagian tengkung sehingga ke bahagian punggung. Lega rasanya dapat berurut dengan hanya berbaring sahaja. Saya suka ada sedikit tekanan semasa berurut.

Mesin urutan berlangsung selama 40 minit. Selepas habis tempoh masa, badan kita akan berpeluh dan ada sedikit berbau masam. Toksin katanya. Sudah habis berurut bolehlah mandi. Badan terasa segar tetapi mata mula mengantuk. Ini mungkin disebabkan urat-urat dan darah kita berjalan dengan lancar.

Alhamdulillah. Lega sedikit, hilang rasa sakit-sakit badan. Siapa ada duit banyak, bolehlah melabur sedikit untuk beli katil Ceragem. Harganya kalau tidak silap saya Rm15,000.